Ahad, 3 Julai 2011

Asal Kata Nahu

Nahu ditinjau dari sudut bahasa Arab bermakna:
1.Tujuan/maksud. 2.Seperti/serupa.

Ilmu ini dinamakan dengan Ilmu Nahu kerana tujuan orang yang bercakap dengan Nahu ialah hendak bercakap seperti orang Arab.

Adapun dari sudut istilah Ulama Bahasa Arab, "Nahu ialah suatu disiplin ilmu yang membincangkan keadaan (baris akhir) setiap kalimat dari segi i'erab (perubahan) atau bina' (tanpa perubahan), dan membincangkan kedudukan (mauqi'e i'erab) setiap kalimat", dan oleh sebab itu Ilmu Nahu juga dinamakan Ilmu I'erab. 


Dengan Ilmu Nahu kita akan dapat membezakan setiap kalimat samada ia Isim (pronoun), Fi'il (verb) atau huruf (conjunction) sebagai subjek atau predikat, samada berbaris dhammah, fathah atau kasrah, samada sebagai pembuat atau yang kena buat dan sebagainya yang akan dijelaskan nanti.

Jadi Ilmu Nahu akan membincangkan keadaan setiap kalimat ketika ia berada dalam susunan ayat lengkap,
berbeza dengan Ilmu Sarf, kerana Ilmu Sarf ialah suatu disiplin ilmu yang membahas bentuk setiap kalimat (sebelum menjadi ayat lengkap) dan menukartambah bentuk tersebut kepada bentuk lain sesuai dengan maksud yang dikehendaki, seperti daripada asas kalimat "bacaan" menjadi : telah membaca, sedang membaca, pembaca, yang dibaca, tempat membaca dan lain-lain.

Semua yang disebutkan di atas adalah berdasarkan kajian dan penelitian daripada ungkapan-ungkapan orang Arab melalui puisi dan prosa mereka, disamping rujukan utama iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah.

Tiada ulasan: